mutakhir

SFC beri sebab lepaskan buaya di Sungai Limbang

Oleh Alif Amal Azahari

Kuching: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) mempertahankan keputusan mereka melepaskan kembali buaya sepanjang 4.9 meter yang ditangkap di Limbang Ahad lalu ke Sungai Limbang.

Jurucakap SFC berkata, keputusan itu dibuat kerana pihaknya sebelum ini tidak pernah menerima aduan mengenai bahaya atau ancaman akibat kehadiran buaya di kawasan itu.

Menurutnya, pihaknya membuat pertimbangan itu selepas satu kajian mendapati kepadatan buaya di sungai itu rendah.

“Hakikatnya, satu kaji selidik yang diadakan Mei lalu menunjukkan sepanjang Sungai Limbang dari kuala hingga ke pekan Limbang, kepadatan populasi buaya hanya kira-kira seekor reptilia bagi setiap kilometer.

“Ia jauh daripada paras bahaya yang memerlukan penakaian (pengasingan) reptilia itu di kawasan sungai berkenaan,” katanya, semalam.

Bagaimanapun, katanya, SFC akan terus membuat pemantauan rapi mengenai kehadiran buaya di kawasan berkenaan.

“SFC akan memasang lebih banyak papan tanda amaran di tempat buaya paling kerap kelihatan,” katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2017 @ 8:01am
d