mutakhir

Kalau sudah ajal

Oleh Zaid Salim

LELAKI maut apabila motosikal ditunggangnya dilanggar kereta dalam kejadian di Kilometer 40 Jalan Kuala Terengganu-Dungun, dekat Merchang, Marang, hari ini.

Md Daham Embong, 65, dari Kampung Tebauk, Kuala Nerus, meninggal dunia tempat kejadian dalam kemalangan pada 8.30 pagi.

Anak bongsunya, Muhammad Saiful Mohaimin, 21, berkata dia bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kemalangan menimpa bapanya pada kira-kira 9 pagi.

"Arwah ayah berasal dari Kampung Sungai Buaya, Dungun. Sejak kematian abang, Mohd Saifuddin, pada usia 34 tahun, pada Februari tahun lalu, ayah jarang ke laut.

“Ini kerana dia menjaga dua anak arwah abang berusia tujuh dan lima tahun.

"Walaupun tidak lagi ke laut, arwah kerap berulang alik ke Sungai Buaya untuk melihat botnya di jeti kampung berkenaan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebauk, Kuala Nerus.

"Setiap kali arwah ke Dungun, kami adik-beradik bimbang dengan keselamatannya yang bermotosikal.

"Sudah banyak kali kami pesan kepadanya supaya tidak kerap sangat ke Dungun tetapi ayah tetap dengan pendiriannya.

"Kebimbangan kami menjadi kenyataan. Walaupun terkejut, kami reda dengan pemergiannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu Proton Persona dari arah Dungun ke Kuala Terengganu gagal mengawal keretanya, terbabas dan melanggar motosikal mangsa.

"Keadaan jalan ketika kejadian basah dan Proton Persona itu terbabas kerana jalan licin sebaik mengambil satu selekoh.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanaha Nur Zahirah Kuala Terengganu sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian," katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2017 @ 3:49pm
d