mutakhir

Anjur solat hajat untuk Rohingya

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

LEBIH 1,000 menyertai solat hajat anjuran Kerajaan Kelantan bagi menunjukkan solidariti terhadap etnik Rohingya di pekarangan Pasar Wakaf Bharu, Tumpat hari ini.

Solat hajat bermula jam 9 malam diimamkan Timbalan Mufti Kelantan Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.

Jemaah kemudian mendengar ceramah mengenai isu semasa yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Nik Abdul Kadir

Che Abdullah berkata, solat hajat yang diadakan untuk menunjukkan sokongan kepada etnik Rohingya.

Katanya, apa yang berlaku di Myanmar adalah perkaran yang tidak menunjukkan sifat perikemanusiaan.

"Kerajaan negeri mahu menunjukkan kepada etnik Rohingya bahawa mereka tidak keseorangan dan kami tampil bersolidariti bagi menunjukkan sokongan kepada etnik yang ditindas itu," katanya ketika ditemui selepas Solat Hajat Solidariti Rohingya di pekarangan Pasar Wakaf Bharu, di sini.

Beliau berkata, Kerajaan negeri juga turut melancarkan kutipan derma bagi membantu masyarakat Rohingya di seluruh dunia.

"Orang ramai diminta untuk menyalurkan sumbangan mereka dan Insya-Allah akan diserahkan kepada etnik Rohingya," katanya.

Sementara itu, Nik Mohamad berkata, orang Islam diwajibkan untuk menghulurkan bantuan kepada etnik Rohingya.

"Mereka sememangnya memerlukan bantuan dan kita wajib bantu bagi meringankan beban yang ditanggung," katanya.

Disiarkan pada: September 10, 2017 @ 12:21am
d