mutakhir

Morgan buka tirai kembara

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 edisi ke-20 yang membuka tirainya semalam, bukan saja menampilkan kenderaan beroda tiga Morgan milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, malah buat julung kalinya memperkenalkan menantu lelaki baginda kepada rakyat.

Kehadiran Dennis Muhammad Abdullah bersama isteri, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim nyata mencuri tumpuan orang ramai yang membanjiri Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Puteri tunggal Sultan Johor dan suaminya itu yang dinikahkan Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin pada 14 Ogos lalu turut menjelajah ke sepuluh daerah membabitkan laluan sepanjang 808 kilometer (km).

Kenderaan Morgan dinaiki pasangan berkenaan memulakan kembara sebaik majlis pelepasan rombongan diraja disempurnakan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli tepat jam 9 pagi.

Sultan Johor bersama isteri Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah mendahului KMJ ke-20 diikuti kenderaan Morgan dipandu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim disusuli kenderaan dipandu Dennis Muhammad.

Turut berkenan berangkat, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.

Terdahulu 5,000 warga bandar raya ini termasuk penduduk setempat dan pelajar sekolah membanjiri dataran untuk menyaksikan kembara keluarga diraja Johor itu.

Keberangkatan tiba Sultan Johor serta Permaisuri Johor dan kerabat diraja di Dataran Bandaraya Johor Bahru pada jam 8 pagi disambut meriah.

Hadir sama menyambut keberangkatan tiba Sultan Johor, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) A Rahim Nin.

Lagu Bangsa Johor mengisi atur cara majlis diikuti bacaan doa oleh Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin.

Ia disusuli sembah ucapan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum disusuli gimik pelancaran dan persembahan cenderahati Sultan Johor kepada Mohamed Khaled.

Program empat hari bermula semalam hingga 12 September ini memberi peluang kepada rakyat mendampingi serta mengenali lebih rapat Sultan Ibrahim yang terkenal dengan sikap ramah dan berjiwa rakyat.

Hari pertama kembara membabitkan laluan sepanjang 195km dengan majlis pelepasan bermula di Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Hari kedua membabitkan laluan sejauh 157km bermula di Istana Flinstones, Kem Iskandar dan Pulau Mensirip, bangunan Mersing Harbour Centre, FELDA Nitar 1, Mersing diikuti FELDA Kahang Barat dan Laman Pesona Kluang sebelum berakhir di Kem Batalion 5 PGA Simpang Renggam.

Pada hari ketiga, kembara membabitkan laluan 209km bermula di Kem Batalion 5 PGA Simpang Renggam, Bandar Baru Ayer Hitam, Gerai Majlis Daerah Labis, Taman Chaah Baru, Taman Tenang Jaya dan Dataran Segamat di Segamat.

Sultan Ibrahim meneruskan kembara ke Laman Herba Kampung Sagil Parit 2 dan Medan Selera, Taman Serom Utama, Sungai Mati di Tangkak, Dataran SRCC Sungai Abong, Muar dan berakhir di Rumah Muar 3.

Kembara hari terakhir membabitkan perjalanan sejauh 247km bermula di Dataran Tanjung Emas, Muar diikuti Padang Bukit Mor, Parit Jawa dan berehat di Sekolah Menengah Agama Parit Sulong, Batu Pahat.

Perjalanan berakhir di Hutan Bandar, Bandar Putra, Kulai jam 4.20 petang, 12 September.

Disiarkan pada: September 10, 2017 @ 10:56am
d