mutakhir

'Maafkan saya'

Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin

Kubang Pasu: Gara-gara sate 25 sen tular di media sosial, seorang peniaga dari Kampung Seberang, Jitra, tidak menang tangan melayani permintaan pelanggan.

Kisah pemilik Gerai Sate Ali, Norliza Ali, 38, yang menjual sate pada harga 25 sen satu cucuk tersiar dalam Harian Metro 19 Ogos lalu.

Norliza berkata, susulan laporan itu ramai berkongsi berita berkenaan dalam beberapa akaun Facebook popular menyebabkan dia menerima pertanyaan bertalu-talu daripada orang ramai.

“Saya memohon maaf kerana tidak dapat melayan semua pesanan dan panggilan melalui telefon sehingga pada satu peringkat terasa ingin mematikan telefon itu.

“Namun saya menganggap sebagai cabaran dan berusaha memenuhi permintaan pelanggan yang kebanyakannya datang luar dari Kubang Pasu,” katanya ditemui di gerainya semalam.

Dia yang dibantu suami Zahibul Asfar, 34, terpaksa menambah lima pembantu di gerai dan lapan orang ditugaskan memproses 150 kilogram daging ayam dan mencucuk sate di rumah.

“Alhamdulillah, sejak tular secara puratanya hampir 10,000 cucuk sate dapat dijual setiap hari berbanding sekitar 2,000 cucuk sebelum ini,” kata Norliza yang mewarisi resipi sate daripada Allahyarham bapanya, Mat Ali Itam.

Disiarkan pada: September 10, 2017 @ 11:05am
d