mutakhir

Kos haji kekal RM9,980

Oleh Azlan Hafeedz

KERAJAAN akan memastikan kadar bayaran ke Tanah Suci, tahun depan dikekalkan RM9,980 seorang, meskipun Lembaga Tabung Haji (TH) berdepan kenaikan kos setiap tahun.

Kadar itu tidak berubah sejak 2009 berikutan kerajaan menanggung kos subsidi jemaah haji, kira-kira RM200 juta.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengekalan kadar itu atas keprihatinan kerajaan dan sebahagian usaha untuk memelihara serta menegakkan syiar Islam.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu kadar ini dikekalkan kerana kita tidak mahu membebankan jemaah, malah kos haji di Malaysia antara paling rendah jika dibandingkan negara lain.

"Walaupun (kos) murah, kita masih dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji membabitkan semua aspek termasuk penginapan, kesihatan, pemakanan dan urusan harian ibadat haji.

"Malah, kerajaan masih berbincang dengan kerajaan Arab Saudi untuk membina sebuah kompleks TH di Makkah untuk memudahkan lagi jemaah," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Kebangsaan dan Karnival Gegar Merdeka 10,000 Langkah Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil Pasir Puteh, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zulkifli Ali dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Hashim Ismail.

Mengulas mengenai program itu, Asyraf Wajdi berkata, konsep merdeka perlu dinilai rakyat Malaysia dalam konteks bebas daripada sebarang penyakit yang boleh menjejaskan kualiti kesihatan dan cara hidup.

Beliau juga menggalakkan rakyat menjalani gaya hidup aktif yang menjadi kunci mencegah penyakit tidak berjangkit termasuk dengan mengamalkan aktiviti berjalan kaki setiap hari.

"Program seumpama ini perlu menjadi contoh setiap agensi untuk menyedarkan masyarakat," katanya.

Disiarkan pada: September 10, 2017 @ 1:17pm
d