mutakhir

Dibebaskan dengan jaminan [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

DUA pensyarah kanan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang direman lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan kuasa bagi pembelian barang makmal serta perkhidmatan penyelidikan bernilai RM52,000, dibebaskan hari ini.

Pasangan suami isteri berusia 35 dan 32 tahun itu dibebaskan selepas mendapat perintah Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Mohd Anuar Ostadi di Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh, hari ini.

Suspek lelaki dibenarkan bebas dengan jaminan tunai RM3,000 dan RM47,000 tanpa cagaran manakala isterinya dengan jaminan tunai RM2,000 dan RM8,000 tanpa cagaran, masing-masing dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan bagi kedua-dua suspek, melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Terdahulu kedua-dua suspek tiba di Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh pada 10.20 pagi dan dibawa keluar dari kompleks itu kira-kira 20 minit kemudian selepas prosedur jaminan selesai.

Harian Metro pada 6 September lalu melaporkan, kedua-dua suspek yang masing-masing memegang jawatan sebagai pensyarah kanan di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan UTeM direman lima hari dan perintah reman itu berakhir hari ini.

Berita berkaitan

'Suami isteri ditahan SPRM [METROTV]'

Disiarkan pada: September 10, 2017 @ 2:41pm
d