mutakhir

Pelajar sekolah agama lemas

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

PELAJAR sekolah agama yang hilang di Pantai Bagan Lalang, petang semalam ditemui lemas selepas mayatnya dijumpai oleh pasukan penyelamat pada 4.45 petang hari ini.

Mayat Muhammad Farhan Zailani, 15, dari Sekolah Menengah Agama Haji Muhamad, Bahau, Negeri Sembilan ditemui tersangkut pada pokok bakau iaitu jarak 200 meter dari lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sepang Azrul Faizal Maariff berkata, mangsa hilang dibawa arus ketika berada berhampiran kawasan memancing ikan lewat petang semalam.

"Pihak bomba menerima panggilan jam 5.15 petang semalam dan seterusnya, jentera menyelamat bergegas ke tempat kejadian.

"Selain itu, pasukan mencari dan menyelamat yang disertai 40 anggota terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia sedang mempergiatkan usaha mencari mangsa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Banting.

Seorang saksi, Megat Mohamad Ammir Mohamad Isa, 35, ketika dihubungi mendakwa, sebelum kejadian, dia yang sedang memancing melihat mangsa serta seorang rakannya berada di pantai itu iaitu kira-kira 10 hingga 20 meter dari lokasi memancing.

"Bagaimanapun, rakannya kemudian menjerit meminta tolong dan kami sangkakan dia bergurau bersama mangsa kerana sebelum itu, mereka dilihat sedang bermain di situ.

"Kemudian, saya lihat mangsa terkapai-kapai dan tenggelam timbul di dalam air dan kami bergegas ke sana namun tidak sempat menyelamatkan mangsa," katanya.

Megat Mohamad Ammir mendakwa, tempat mangsa dan rakannya bermain air adalah di kawasan muara dan paras air mencecah peha sebelum air pasang.

"Selepas air pasang, kawasan itu agak dalam lebih-lebih lagi ada beting pasir memandangkan ia dikorek baru-baru ini," katanya.

Katanya, dia juga meminta maaf kepada ibu saudara mangsa melalui Facebook untuk disampaikan kepada ibu bapa Muhammad Farhan kerana tidak sempat menyelamatkan mangsa.

Disiarkan pada: September 10, 2017 @ 6:24pm
d