mutakhir

Giling jangan tak giling...

Oleh Zaid Salim

SEBANYAK 406 batu giling berusia 50 tahun hingga lebih 100 tahun digunakan peserta dalam acara menggiling cili dan rempah sempena Program Pekan Budaya 2017 di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini.

Program yang disertai peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum bukan sahaja dapat menghibur orang ramai yang menyaksikan gelagat mereka tetapi memberi satu kelainan kepada generasi baru yang pertama kali melihat cara tradisional itu.

Ketua Urusetia Program, Ahmad Feizal Haladin berkata, semua peserta terbabit adalah komuniti daripada 203 Jawatankuas Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K)dari Kuala Terengganu.

"Acara ini diadakan bagi mendedahkan kepada generasi muda cara menggunakan batu giling selain mengeratkan hubungan antara masyarakat," katanya.

Menurutnya, sebelum adanya alat pengisar, batu giling adalah peralatan penting digunakan masyarakat terdahulu melumatkan cili dan rempah ratus untuk masakan.

Katanya, selain menggunakan batu giling berusia ratusan tahun, pengunjung juga boleh melihat semangat perpaduan dalam kalangan peserta apabila acara berkenaan disertai pelbagai kaum.

"Lebih 200 kilogram cili kering dan rempah ratus digunakan sepanjang acara ini berlangsung," katanya

Ahmad Feizal berkata, aktiviti itu adalah pengisian yang sangat bersesuaian dengan tema Pekan Budaya.

"Jadi saya berharap pada masa akan datang lebih banyak lagi aktiviti sebegini dapat dilaksanakan," katanya.

Peserta, Halimah Ali, 59, dari Kampung Tok Masih berkata, dia teruja diberi peluang memeriahkan acara itu dan sanggup menggunakan batu giling berusia lebih 100 tahun yang sudah lama disimpan.

"Batu giling ini milik saudara saya yang sudah hampir 50 tahun tidak digunakan tetapi keadaannya masih elok dan boleh dipakai," katanya.

Disiarkan pada: September 10, 2017 @ 8:42pm
d