mutakhir

Remaja lemas tergelincir dari tebing

Oleh HM Digital

Sepang: “Rakan mangsa jerit tolong dan saya sangka dia main-main kerana sebelum itu, mereka dilihat bergurau bersama,” kata Megat Mohamad Ammir Mohamad Isa, 35, saksi kejadian lemas membabitkan pelajar Sekolah Menengah Agama Haji Muhamad, Bahau, Negeri Sembilan di Pantai Bagan Lalang, di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa Muhammad Farhan Zailani, 15, dilaporkan hilang selepas tergelincir dari tebing, petang kelmarin seterusnya dibawa arus sebelum mayatnya ditemui jam 4.45 petang semalam.

Difahamkan, remaja terbabit bersama rakan keluar dari kumpulan 82 pelajar sekolahnya yang menghadiri perkhemahan motivasi di Pantai Bagan Lalang.

Megat Mohamad Ammir berkata, ketika kejadian dia berada 10 hingga 20 meter dari tempat mangsa terjatuh. Ketika itu dia bersama rakan dan adik ipar serta dua lagi pemancing di kawasan berkenaan.

“Kemudian saya lihat mangsa terkapai-kapai dan tenggelam timbul di dalam air dan kami bergegas ke sana sebelum dia hilang daripada penglihatan, sekali gus tidak sempat menyelamatkannya.

“Rakan mangsa kelihatan trauma dan panik, malah dia memanggil ustaz (guru pengiring). Saya minta remaja terbabit memaklumkan perkara itu kepada guru,” katanya.

Megat Mohamad Ammir berkata, dia meminta guru sekolah berkenaan menghubungi talian 999 dan kira-kira 10 minit selepas itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiba lokasi kejadian.

“Selain kami (pemancing), bot nelayan yang berada di situ turut berusaha mencari mangsa, namun tidak berjaya menemuinya,” katanya.

Dia mendakwa tempat mangsa dan rakannya bermain adalah di kawasan muara, malah ada beting di situ berikutan kerja mengorek yang dilakukan baru-baru ini.

Disiarkan pada: September 11, 2017 @ 9:54am
d