mutakhir

Sasar RM210.4j jualan usahawan IAT

Oleh HM Digital

Sungai Petani: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), menyasarkan RM210.4 juta nilai jualan keseluruhan bagi usahawan Industri Asas Tani (IAT) pada tahun ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Ishak berkata, bagi mencapai sasaran itu, 300 usahawan dibimbing bagi meningkatkan produktiviti termasuk isu pembungkusan mendapatkan sijil halal dan pemasaran.

“Setakat ini, kita mempunyai lebih 6,000 usahawan industri asas tani membabitkan pelbagai kategori produk.

“Pada tahun ini, RM6 juta diperuntukkan bagi membimbing 300 usahawan dalam usaha meningkatkan lagi produktiviti mereka sekali gus bagi mencapai sasaran peningkatan jualan RM15 juta bagi tahun ini,” katanya.

Beliau berkata pada Majlis Pelancaran Karnival IAT Zon Utara 2017 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri, Datuk Suraya Yaacob, kelmarin.

Karnival empat hari yang bermula Khamis lalu itu membabitkan tiga negeri di zon utara iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Ahmad berkata, karnival itu sebagai platform untuk mengetengah dan mempromosikan produk usahawan asas tani mempunyai nilai jualan tahunan RM50,000 hingga RM300,000.

Disiarkan pada: September 11, 2017 @ 10:05am
d