mutakhir

Semangat hadapi UPSR walaupun cedera

Oleh Aslina Abu Bakar

URAT tangan hampir putus terkena kaca tingkap rumah seminggu lalu menyebabkan murid tahun enam, Nur Ain Hidayah Ngah terpaksa menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hari ini.

Nur Ain Hidayah dari Kampung Maras itu cedera di tangan kanan ketika dia ingin menutup tingkap rumahnya pada petang Ahad minggu lalu.

Ibunya, Faridah Abu Bakar, 40, berkata, anaknya itu sudah dibenarkan pulang ke rumah selepas seminggu dirawat di hospital itu tetapi disebabkan perlu menduduki peperiksaan UPSR, Nur Ain Hidayah diminta masuk semula di hospital.

"Anak saya masih tidak boleh menggunakan tangannya untuk menulis, berikutan itu kaedah menjawab soalan peperiksaan dengan menggunakan rakaman suara dilakukan manakala jawapannya akan ditulis oleh guru yang bertugas.

"Walaupun terpaksa menjalani ujian ini di hospital, saya melihat dia (Nur Ain Hidayah) tetap bersemangat dan tidak menjadikan kecederaan dialaminya itu sebagai halangan," katanya yang ditemui di HSNZ.

Menurutnya, dia berharap dengan semangat yang ditunjukkan, anak ketujuh daripada 10 beradik itu mampu memperoleh keputusan yang cemerlang.

Nur Ain Hidayah adalah antara empat murid yang menduduki peperiksaan UPSR di HSNZ akibat pelbagai masalah kesihatan.

Mereka ditempatkan di bilik khas di hospital terbabit dan masing-masing menjawab soalan peperiksaan sambil duduk di atas katil rawatan.

Berita berkaitan:

Sedia sarapan untuk calon UPSR

Jalan 6 KM untuk UPSR

Doa guru iringi calon UPSR

'UPSR masih relevan' [METROTV]

Disiarkan pada: September 11, 2017 @ 2:18pm
d