mutakhir

Merpati simbolik kemerdekaan

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

ENAM merpati dilepaskan sebagai simbolik kemerdekaan ke-60 negara dalam Program Moh Ngeteh Merdeka @ Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Parlimen Tumpat.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata, pelepasan burung lambang negara yang sudah 60 tahun bebas daripada penjajah.

Katanya, program sambutan kemerdekaan perlu diteruskan agar rakyat dapat menghayati erti kemerdekaan.

"Penghayatan erti kemerdekaan kini semakin berkurangan dalam kalangan penduduk dan rata-rata hanya menyambutnya pada 31 Ogos sahaja.

"Mereka sepatutnya tahu kita masih lagi dalam 'mood' sambutan kemerdekaan dan kemuncaknya adalah pada hari sambutan Malaysia pada 16 September nanti," katanya ketika ditemui selepas Program Moh Ngeteh Merdeka @ KKLW di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan Tumpat, hari ini.

Beliau berkata, tujuan program itu diadakan adalah untuk merapatkan hubungan pemimpin setempat dengan penduduk kampung.

Katanya, program turut dihadiri 500 murid tadika KEMAS seluruh daerah Tumpat.

"Di daerah ini terdapat 80 tadika, masing-masing menghantar wakil bagi menjayakan program kali ini termasuk 48 sekolah.

"Inilah fokus utama kerajaan dan kita mahu menyemai semangat patriotik dalam diri murid sejak mereka kecil lagi," katanya.

Disiarkan pada: September 11, 2017 @ 2:35pm
d