mutakhir

Kerja baik pulih sehingga 10 bulan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KERJA membaik pulih tingkat satu Pasar Besar Seremban yang musnah dalam kebakaran kelmarin, dijangka mengambil masa antara lapan hingga 10 bulan.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, kerja pembinaan semula itu akan dimulakan sebaik mendapat laporan penuh siasatan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat serta jurutera.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal pihak bomba mengesahkan bangunan itu masih selamat digunakan dan hanya memerlukan pembaikan semula tingkat satu yang terjejas akibat kebakaran.

"Majlis Perbandaran Seremban (MPS) akan melantik kontraktor dalam masa terdekat dan menjangkakan proses baik pulih mengambil masa antara lapan hingga 10 bulan. Namun, sekiranya berjalan lancar ia boleh disiapkan kurang daripada tempoh itu.

"Sepanjang tempoh itu, semua peniaga yang terjejas akan dikecualikan bayaran sewa sehingga siap pembinaan semula dan mereka dapat beroperasi seperti biasa," katanya pada sidang media di pasar berkenaan, hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini MPS akan mendirikan khemah dan menyediakan bekalan elektrik serta air di tapak letak kereta mulai esok, untuk 197 peniaga yang terjejas.

Katanya, semua peniaga yang mahu berniaga di tapak letak kereta itu perlu mendaftarkan diri kepada MPS untuk membolehkan pihak berkenaan membuat susunan tapak.

Tambah beliau, pasar berusia 39 tahun terbabit juga akan dinaik taraf sebagai pasar moden yang akan menjadi salah satu lokasi pelancongan dengan menempatkan lot kedai barangan kraftangan serta produk pelancongan.

Berita berkaitan:

Peniaga gelisah hilang punca pendapatan

Unit K9 bantu siasatan kebakaran

'Lambek bonar' panggil bomba...

Pasar Besar Seremban dijilat api

Disiarkan pada: September 11, 2017 @ 3:08pm
d