mutakhir

70 kenderaan sertai Konvoi Merdeka

Oleh Amrullah Abdul Karim

BAGI menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, sebanyak 70 kenderaan Akademi Memandu PS Samy yang lengkap dengan Jalur Gemilang dilepaskan sempena Konvoi Merdeka kali ke-22 institut itu di Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Konvoi disertai jurulatih memandu dan kakitangan itu berarak melalui lapan bandar dan perkampungan di daerah berkenaan meliputi jarak laluan lebih 80 kilometer.

Pengarah Urusan akademi itu, Datuk PS Samy berkata, konvoi hasil inisiatif pihaknya itu bertujuan menyemarakkan semangat kemerdekaan dan kecintaan masyarakat terhadap negara.

"Hasrat saya untuk memperingati hari kemerdekaan ke-60 tahun dan melahirkan semangat patriotik serta cintakan negara terutama dalam kalangan kakitangan sendiri.

"Konvoi mengelilingi beberapa lokasi di daerah ini secara tidak langsung menyemarakkan rasa keterujaan kita sebagai rakyat Malaysia yang sedang meraikan bulan kemerdekaan," katanya selepas melepaskan konvoi yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Menurut beliau, konvoi membabitkan kenderaan ringan dan berat termasuk lori itu mencatatkan sejarah tersendiri bagi akademi itu yang tidak pernah gagal menganjurkan program kemerdekaan.

Kata Samy, konvoi kali ini turut mendapat kerjasama Jabatan Penerangan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Disiarkan pada: September 11, 2017 @ 5:37pm
d