mutakhir

'Nama saya Shah Alam' [METROTV]

Oleh Faliq Lajim

LELAKI warga Bangladesh yang juga pekerja sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, Klang, menjadi tular di media sosial berikutan keunikan namanya yang sama dengan ibu negeri Selangor, Shah Alam.

Md Shah Alam Md Shirazul Islam, 43, berkata, dia tidak menyangka namanya itu mendapat perhatian sejak kebelakangan ini sehingga ramai menegur dan mahu bergambar dengannya.

"Pada mulanya, saya agak pelik dengan keadaan itu sebelum diberitahu oleh seseorang bahawa nama sama seperti satu daerah di Selangor.

"Memang ramai akan menegur apabila melihat 'tag' nama baju saya. Namun, kini tidak sangka sangka ia turut menjadi tular," katanya ketika ditemui kepada Harian Metro.

Menurut bapa kepada seorang anak berasal dari Dhaka itu, dia terharu apabila masyarakat tempatan teruja dengan namanya.

"Jika di negara saya (Bangladesh), nama ini memang mudah dilihat dan ada juga rakan saya bernama Shah Alam.

"Cuma di Malaysia, mereka menganggap nama itu agak lucu kerana ia merupakan nama tempat, " katanya.

Kata Md Shah Alam yang sudah setahun menetap di negara ini, dia sememangnya gembira dan selesa kerana sikap rakyat tempatan peramah serta baik hati.

"Sebelum ini saya pernah bekerja di Arab Saudi sebagai penyelenggara hampir sembilan tahun. Namun, saya tidak popular seperti di Malaysia," katanya tersenyum.

Disiarkan pada: September 11, 2017 @ 5:38pm
d