mutakhir

Patah kaki dirempuh lori

Oleh Mohd Hasbi Sidek

WARDEN Trafik Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedang dalam perjalanan untuk menjalani latihan patah kaki kanan selepas terlanggar sebuah lori di Jalan Tun Razak menghala ke Sungai Besi, susur ke Bulatan Jalan Loke Yew, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, lori muatan 10 tan berkenaan secara tiba-tiba menukar laluan dari kiri ke kanan jalan menyebabkan mangsa merempuh bahagian belakang lori dan terjatuh ke jalan.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan Shafie Daud berkata, warden berusia 28 tahun itu terjatuh ke jalan sebelum motosikalnya dirempuh sebuah lagi lori dari arah belakang.

"Ketiga-tiga kenderaan menghala ke Sungai Besi sebelum lori muatan 10 tan mengubah laluan dari kiri ke kanan secara mengejut menyebabkan penunggang motosikal yang berada di laluan kanan tidak sempat mengelak.

"Akibatnya mangsa melanggar bahagian kiri belakang lori sebelum tercampak ke bahu jalan manakala motosikal yang ditunggangnya terseret di jalan," katanya.

Beliau berkata, sebuah lori muatan satu tan yang berada di belakang motosikal mangsa melanggar motosikal mangsa.

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami patah kaki kanan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.

"Pegawai penyiasat sudah ke lokasi untuk menyiasat kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Disiarkan pada: September 11, 2017 @ 9:07pm
d