mutakhir

6 penerima Anugerah Merdeka 2017 diumumkan

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah malam ini berkenan mengumumkan enam penerima Anugerah Merdeka 2017.

Mereka ialah Datuk Dr Abdul Halim Ismail, Datuk Seri Tengku Dr Zainal Adlin Tengku Mahamood, Prof Dr Balbir Singh Mohan Singh, Dr Timothy William, Prof Ir Dr Masjuki Hassan, Prof Dr Anthony Crothers Milner

Sultan Nazrin membuat pengumuman itu di Dewan Filharmonik Menara Berkembar Petronas.

Yang turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Abdul Halim dipilih bagi kategori Pendidikan dan Komuniti atas sumbangan cemerlang dan peranan utamanya dalam mewujudkan bank Islam pertama di Malaysia yang membawa kepada pembangunan dan pertumbuhan sektor perbankan, insurans, dan kewangan Islam negara dan rantau.

Zainal Adlin dipilih sebagai penerima kategori

Persekitaran untuk sumbangan cemerlang dalam pemuliharaan hidupan liar dan hutan di Malaysia dan rantau melalui kerja lapangan, pendidikan, advokasi, dasar dan kerjasama antarabangsa.

Bagi Kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi, Balbir Singh dan Timothy dipilih sebagai penerima bersama atas sumbangan cemerlang dalam penemuan dan kerja perintis pada kursus baru malaria manusia yang telah mengubah pemahaman malaria dan cara jangkitan dirawat di negara ini dan di seluruh dunia

Kategori Pencapaian Cemerlang Cendekiawan, Masjuki dipilih berdasarkan penyelidikan ilmiah cemerlang dalam sains kejuruteraan dan tenaga yang beperanan penting dalam penyelidikan pembangunan biofuel dan sumber tenaga serta enjin automotif yang cekap.

Anthony dipilih bagi Kategori Sumbangan Cemerlang Kepada Rakyat Malaysia untuk sumbangan luar biasa kepada penyelidikan dan pendidikan dalam sejarah Malaysia yang telah membentuk dan mempromosikan pemahaman tentang identiti, warisan dan kebudayaan negara serta peranannya dalam memupuk kerjasama antarabangsa.

Setiap pemenang menerima sijil, piala, karya seni dan wang tunai.

Terdahulu Wan Zulkiflee dalam ucapannya berkata, Anugerah Merdeka adalah anugerah paling berprestij di Malaysia mengiktiraf kecemerlangan individu dan organisasi.

"Sebagai syarikat minyak dan gas, kita tidak mempunyai kepakaran, tetapi akan memastikan pertumbuhan holistik negara dengan mengenali dan memberi sumbangan kepada mereka yang boleh melakukan apa yang tidak dapat kita lakukan.

"Setiap tahun, proses pencalonan dan pemilihan untuk Anugerah Merdeka ditadbirkan oleh Lembaga Pemegang Amanah dan 22 anggota dari enam jawatankuasa. Ia membabitkan proses penilaian yangketat bagi mencerminkan piawaian tinggi Anugerah Merdeka," katanya.

Sejak diperkenalkan pada 2007 hasil kerjasama PETRONAS, ExxonMobil dan Shell, Anugerah Merdeka mengiktiraf 44 individu dan dua organisasi cemerlang, masing-masing dimartabatkan menjadi ikon untuk diteladani generasi pascamerdeka.

Disiarkan pada: September 11, 2017 @ 11:31pm
d