mutakhir

Imbuhan 142 atlet Selangor

Oleh Ayusliza Azizan

Klang: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan tahniah dengan pencapaian atlet Selangor yang berjaya menyumbangkan pingat pada Sukan SEA 2017 dan berharap dapat terus mengharumkan nama negara.

Baginda bertitah, atlet negeri menyumbangkan 41 emas, 29 perak dan 28 gangsa yang dianggap signifikan kepada kejayaan Malaysia meraih tempat pertama pada temasya itu.

“Beta amat berbangga dengan pencapaian atlet kita yang sentiasa berusaha mengharumkan nama negara dalam bidang sukan.

“Bukan seperti segelintir pihak yang tanpa segan silu memburukkan nama Malaysia di luar negara. Atlet adalah wira dan serikandi negara yang komited menaikkan nama negara,” titah baginda.

Semalam, baginda berkenan menyerahkan insentif RM540,000 kepada 142 atlet Selangor pada majlis di Istana Alam Shah di sini.

Pemenang emas memperoleh ganjaran RM5,000, RM3,000 bagi perak dan RM2,000 untuk gangsa.

Jurulatih turut menerima insentif RM5,000.

Titah baginda, pencapaian cemerlang pada Sukan SEA itu mampu menjadi pembakar semangat untuk meraih pencapaian lebih baik di peringkat Sukan Asia yang akan diadakan di Palembang, Indonesia, tahun depan.

Sementara itu, pemenang emas bagi gimnastik artistik, Farah Ann Abdul Hadi, 23, bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang tidak putus-putus memberikan sokongan.

“Insentif seumpama ini membuatkan kami akan terus melakukan yang terbaik walaupun kami tidak pernah mengharapkannya.

“Kami meletakkan usaha penuh dalam sukan dan pencapaian yang diraih merupakan kejayaan yang memberi kepuasan,” katanya yang kini meneruskan latihan bagi persediaan menghadapi kejohanan nasional pada November ini.

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 4:13am
d