mutakhir

'Buli' pelatih SL1M

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Tindakan undang-undang termasuk menarik semula lesen serta menyenaraihitamkan nama dalam pemilikan tender kerajaan akan dikenakan kepada mana-mana syarikat yang menyalahgunakan nama program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) untuk kepentingan sendiri.

Amaran tegas itu dikeluarkan Ketua Sekretariat SL1M Norashikin Ismail selepas mengesan salah laku beberapa syarikat yang mengambil kesempatan dengan memperdaya graduan dan pelatih atas nama program SL1M.

“Syarikat berkenaan tahu ramai graduan terdesak mahukan pekerjaan dan latihan di bawah SL1M jadi mereka yang tidak bertanggungjawab ini menyalahgunakan nama SL1M dengan mengambil graduan membuat kerja remeh seperti kemasukan data, kerja membancuh kopi, fotostat serta menyusun dokumen dalam fail dengan bayaran RM1,000.

“Kebanyakan elaun mereka turut dipotong untuk dibayar kepada syarikat itu. Ini adalah salah kerana program SL1M adalah percuma yang tidak memerlukan calon membayar apa-apa untuk menyertainya dan sepatutnya diberi latihan, kemahiran dan bimbingan untuk meningkatkan kebolehpasaran dalam pasaran kerja.

“Kita mendapat maklumat ini sejak dua bulan kebekalangan ini apabila ada pelatih dan graduan SL1M yang tidak berpuas hati menyuarakannya di laman sosial termasuk Facebook, Twitter dan Instagram,” katanya pada sidang akhbar sempena mengumumkan penganjuran terakhir Program Temuduga Terbuka SL1M 2017 Zon Barat di ibu negara di sini, semalam.

Norashikin berkata, pihaknya di bawah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri akan bekerjasama dengan pihak berwajib lain termasuk Kementerian Sumber Manusia dalam mengambil tindakan terhadap syarikat yang melakukan salah laku itu.

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 4:22am
d