mutakhir

Ajal terbabas bertembung bas

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

Kuantan: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan bas ekspres di Kilometer 34, Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Sungai Baging, di sini, semalam.

Dalam kejadian 3.15 pagi, mangsa Chen Sek Yee, 29, berasal dari Kampung Kolong Pahat, Sungai Lembing, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, ketika kejadian mangsa memandu kenderaannya dalam perjalanan menghala Kuantan dari Kemaman, Terengganu dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung bas ekspres itu.

“Mangsa yang tersepit di tempat duduk meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk dibedah siasat, semalam,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, pemandu bas ekspres itu, Abdullah Mat Amin, 55, berasal dari Kampung Jeram Hilir, Kuala Terengganu yang disahkan mempunyai lesen memandu tidak cedera dan membuat laporan di Balai Polis Trafik, semalam.

Katanya, pemandu kedua bas ekspres itu bersama 35 penumpang selamat dan tidak cedera.

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 5:22am
d