mutakhir

Nasib baik tersesat bawa telefon bimbit

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Sekumpulan lima pendaki bernasib baik kerana membawa bersama telefon bimbit yang digunakan untuk menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan selepas tersesat ketika melakukan aktiviti riadah di Bukit Beruang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 7 malam, mangsa membabitkan empat perempuan dan seorang lelaki berusia antara 14 hingga 23 tahun gagal mencari jalan untuk turun berikutan hari sudah gelap.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hamdan Sidun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang mangsa pada jam 7.21 malam.

Beliau berkata, susulan maklumat diterima sembilan anggota bersama dua jentera dan sebuah ambulans Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (ERMS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Ketika menghubungi pusat kawalan mangsa memberitahu dia bersama empat lagi rakan gagal turun dan tidak tahu di mana mereka berada ketika itu.

“Anggota bomba yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan telefon bimbit untuk berkomunikasi dengan mangsa dan berjaya mengesan lokasi mereka dalam tempoh 15 minit,” katanya.

Menurutnya, mangsa juga diingatkan supaya berada dalam kumpulan dan tidak berpecah bagi melancarkan operasi menyelamatkan mereka.

Katanya, pihaknya menasihati orang awam supaya tidak melakukan pendakian pada lewat petang kerana keadaan cuaca yang gelap menjadi faktor utama menyebabkan mereka gagal menemui laluan untuk turun.

“Kami sudah menerima tiga laporan orang sesat di Bukit Beruang sejak Januari lalu, namun semua berjaya dibawa turun dengan selamat tanpa mengalami kecederaan serius,” katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 5:30am
d