mutakhir

'Suap' pegawai SPRM

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Seorang pemandu lori terpaksa menyambut hari jadinya yang ke-45 tahun di tirai besi apabila dia dihukum penjara seminggu dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan memberi suapan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tahun lalu.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu terhadap How Ah Lai selepas tertuduh mengaku salah sebaik saja pertuduhan itu dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh jatuh hukum iaitu semalam.

Lelaki itu turut berdepan hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, How didakwa memberi suapan wang tunai RM300 kepada Penolong Kanan Penguasa SPRM, Mohd Zaki Johari, 34, sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kesalahan sebuah lori yang membawa muatan pasir keluar dari kawasan perlombongan di Presint 20 Putrajaya kepada pihak berkuasa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tapak Perlombongan Presint 20, antara jam 1 tengah hari hingga 1.30 tengah hari, 11 Februari tahun lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepada anak guamnya atas alasan tertuduh telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

“Tertuduh memohon mahkamah memberikannya peluang kedua untuk kembali ke pangkal jalan dan memperbaiki dirinya,” rayunya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Nurdihana Rosdi memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Berdasarkan fakta kes, pada 11 Februari 2016, operasi bersama Pejabat Tanah dan Galian dan SPRM di Tapak Perlombongan Pasir Presint 20 Putrajaya mendapati tertuduh meneroka secara haram tanah milik kerajaan tanpa permit sah.
Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh mengakui dia pemilik lori dan menawarkan RM300 kepada pengadu bagi melepaskan lori pasir yang telah ditahan dan tidak mengganggu perlombongan yang dijalankan.

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 5:46am
d