mutakhir

Rakyat Kedah berduka

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Pekarangan hadapan Istana Anak Bukit, di sini, dipenuhi orang ramai bermula jam 5 petang semalam bagi mendapatkan kesahihan berita kemangkatan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Rata-rata orang ramai ditemui berduka dengan kemangkatan Almarhum yang disifatkan sebagai raja yang mesra dan prihatin terhadap rakyat.

Pesara guru Ayub Ahmad, 63, dari Taman Berlian, Anak Bukit berkata, dia menerima berita itu jam 3 petang menerusi aplikasi WhatsApp, tapi tidak berani mengesahkannya.

“Apabila sudah banyak group (kumpulan) dah post (hantar), saya percaya. Saya rasa dukacita dengan kemangkatan baginda sebab baginda terlalu lama berkhidmat untuk rakyat Kedah serta mencatat sejarah apabila ditabalkan Yang di-Pertuan Agung sebanyak dua kali.

“Baginda berjiwa rakyat, satu kehilangan yang besar dan sukar dicari ganti, baginda sangat lemah lembut dengan rakyat dengan gaya percakapan yang sopan. Saya banyak merakam baginda ketika menjadi wartawan sambilan Berita Harian sejak 1990 sehingga 2005. Banyak gambar koleksi baginda saya simpan dan bercadang buat album galeri diraja dan saya rasa dapat menyiapkan satu album akhir tahun ini,” katanya.

Bagi suri rumah Aziaton Natrah Muhamad, 33, dari Keda Batu 13, Pokok Sena berkata, dia dan suami menunggang motosikal ke Istana Anak Bukit untuk mendapat kepastian apabila menerima berita sedih itu.

“Saya terkejut mendapat maklumat mengenai kemangkatan baginda tapi tak percaya. Ketika itu, saya dan suami Azmi Mat Said, 40, berada di Tokai, Pendang kerana menziarahi sepupu.

“Untuk kepastian, saya dan suami ambil keputusan untuk ke Istana Anak Bukit dengan motosikal. Apabila sampai ke sini pada jam 6.05 petang, sudah ramai ada di sini dan bercerita mengenai kemangkatan baginda,” katanya.

Juruteknik Zulhaziq Md Ishak, 25, dari Jalan Langgar terkejut mendengar berita itu dan sedih kerana hidup di zaman baginda sejak dilahirkan.

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 9:12am
d