mutakhir

Tak mengaku aibkan polis

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

SEORANG wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini, atas dua tuduhan mengeluarkan perkataan mengaibkan kepada anggota polis trafik pada 2 September lalu.

Tertuduh, Jabiah Norani, 33, membuat pengakuan itu sejurus kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Azzuin Moati.

Mengikut pertuduhan, Jabiah didakwa mengaibkan Konstabel Abdul Wafiy Azmi dengan menyatakan kesediaan memberi suapan antara RM20 hingga RM30 bagi mengelak daripada disaman ekoran kesalahan lalu lintas, di susur masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas, kira-kira jam 10 malam, 2 September lalu.

Selain itu, tertuduh didakwa turut mengaibkan Lans Koperal Mohd Noor Firdaus Abdul Talib dengan komen berunsur perkauman, iaitu 'hang Cina makan babi' di lokasi, tempat dan masa sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nur Azzuin kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin dengan RM4,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 10 Oktober hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Mahdi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 3:38pm
d