mutakhir

Kembara Mahkota Johor labuh tirai

Oleh Mohd Sabran Md Sani

SELEPAS melalui jarak perjalanan sejauh 808 kilometer merentasi 10 daerah di negeri ini, Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 edisi ke-20 menutup tirainya di Hutan Bandar Putra, Kulai di sini, petang ini.

Baginda Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menamatkan misi kembara empat hari bermula 9 September lalu dengan memandu kereta beroda tiga Morgan ke lokasi penutup acara pada jam 4.02 petang.

Ketibaan Sultan Johor diiringi sepuluh kenderaan sama serta motosikal Harley Davidson dengan acara penuh meriah itu disambut kira-kira 2,000 penduduk setempat.

Turut berangkat pada majlis itu, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim bersama suaminya, Dennis Muhammad Abdullah.

Hadir sama, Datuk Md Jais Sarday selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, barisan exco kerajaan negeri dan ketua jabatan kerajaan.

Md Jais dan Pegawai Daerah Kulai, Md Za'nal Misran kemudian menyampaikan sijil penghargaan kepada ketua jabatan yang terbabit dalam kembara berkenaan.

Terdahulu Sultan Johor bersama rombongan diraikan pada Majlis Penutup Kembara Mahkota Johor 2017.

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 4:52pm
d