mutakhir

Ajal langgar belakang lori

Oleh Muhammad Apendy Issahak

WANITA maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar belakang lori di Jalan Batu Sinar, Kampar hari ini.

Dalam kejadian 12.25 tengah hari itu, Noorzamzurina Ibun, 29, yang berasal dari Kampung Tersusun Tronoh Mines, Kampar meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, kemalangan membabitkan motosikal jenis Honda EX5 dinaiki mangsa dan lori jenis Mercedes dipandu lelaki berusia 43 tahun.

"Siasatan awal mendapati lori dipandu dari arah Tanjung Tualang menghala ke Malim Nawar dan apabila sampai di tempat kejadian kenderaan berat itu membelok masuk ke simpang kiri.

"Pada masa sama motosikal ditunggang mangsa yang mengekori dari arah belakang dipercayai gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang lori berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu wanita terbabit parah di beberapa anggota badan dan meninggal dunia ditempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar dan dibedah siasat jam 3 petang hari ini sebelum dituntut ahli keluarga.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 6:43pm
d