mutakhir

Usahawan kudung tak patah semangat

Oleh Idris Musa

Kuala Lumpur: Walaupun kudung tangan kanan akibat terbabit kemalangan jalan raya 21 tahun lalu, Abdullah Kasdi, 39, tidak patah semangat sebaliknya cekal berdikari mengusahakan perniagaan berasaskan kelapa di Kampung Rampangi, Santubong, Sarawak.

Semangat, kegigihan dan disiplin ditunjukkan usahawan tani kurang upaya itu akhirnya mendapat perhatian Agrobank sehingga terpilih menerima Anugerah Agropreneur orang kurang upaya (OKU) 2017, sekali gus melayakkannya membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM10,000.

Menurutnya, dia sekeluarga mengusahakan perniagaan memproses kelapa untuk dijadikan santan selain beberapa produk seperti jeli, kerisik, minyak kelapa dara dan minyak kelapa urut.

Katanya, perniagaan itu bermula sejak 2000 yang diasaskan ibunya, Fatimah Sujang, 69.

“Pada 2006, barulah saya mendapatkan pembiayaan Agrobank RM10,000.

“Lima tahun kemudian, saya mendapatkan lagi pembiayaan sebanyak RM20,000 dan seterusnya RM30,000.

“Sekarang perniagaan semakin maju, dengan hasil jualan sekitar RM15,000 sebulan. Isteri saya, Siti Norazan Mohd Lorren, 38, turut membantu dalam kerja pembungkusan bagi memasarkannya di sekitar Kuching,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank 2017, di sini, semalam.

Majlis anugerah itu disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Hadir sama, Pengerusi Agrobank Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Disiarkan pada: September 13, 2017 @ 6:08am
d