mutakhir

Jumpa 300 anak penyu

Oleh HM Digital

Marang: Siasatan Jabatan Perikanan Terengganu terhadap sebuah resort di Pulau Gemia, dekat sini, semalam menemui 300 ekor anak penyu dipercayai baru menetas dalam satu kolam di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, kakitangan jabatan itu tidak menemui penyu albino yang menggigit anak penyu yang videonya tular di media sosial.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, kakitangan ke resort berkenaan bagi menjalankan siasatan selepas pihaknya membuka kertas siasatan terhadap resort terbabit yang didakwa menyimpan penyu albino dan ratusan anak penyu baru menetas di dalam sebuah kolam, di situ.

Menurutnya, lima kakitangan jabatan berkenaan pergi ke resort berkenaan selepas pihaknya menerima laporan mengenai tindakan pihak resort terbabit, kelmarin.

“Pemilik resort terbabit yang berusia 30-an mendakwa sudah melepaskan penyu dewasa itu yang dipelihara sejak 10 tahun lalu.

“Penyu itu didakwa dilepaskan ke laut oleh kakitangan resort berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Zawawi berkata, pemeriksaan mendapati pemilik premis itu pernah diberikan lesen mengeram telur penyu tetapi, tidak memperbaharui lesennya sejak 2006.

Menurutnya, pihaknya sedang menyiapkan laporan akhir siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Kami sudah arahkan pemilik resort itu menutup kolam terbabit dan sebahagian anak penyu itu akan dilepaskan manakala sebahagian akan kita tempatkan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Rantau Abang,” katanya.

Zawawi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Enakmen Penyu Negeri 1950 kerana menyimpan haiwan yang dilindungi dan sabit sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau setahun penjara atau kedua-dua sekali.

Video berdurasi satu minit 11 saat yang menunjukkan penyu dewasa dipercayai jenis penyu Karah menggigit seekor anak penyu tular di media sosial sejak Ahad lalu.

Ia dikatakan dirakam pemilik akaun Facebook, Jihia Koh pada 22 Ogos lalu ketika dia bercuti di pulau peranginan terbabit tetapi hanya dimuat naiknya pada Ahad hingga mendapat reaksi daripada netizen termasuk mengecam tindakan pihak resort terbabit.

Dalam statusnya, Jihia mendakwa dia ada bertanya kepada kakitangan resort terbabit tetapi dimaklumkan bahawa ia adalah perkara biasa.

Lebih mengejutkannya apabila dia dimaklumkan oleh kakitangan terbabit bahawa makanan tidak cukup.

Sementara itu, akaun Facebook milik resort berkenaan menerusi statusnya bahawa penyu Karah albino terbabit sudah dilepaskan ke laut pada 1 September lalu.

Disiarkan pada: September 13, 2017 @ 6:15am
d