mutakhir

Rumah, kereta ketua kampung hangus

Oleh Nur Izzati Izzah Nadzi

Pelabuhan Klang: Penduduk di Jalan Dato Harun di sini, gempar apabila rumah dan kereta milik ketua kampung kawasan itu musnah dalam kebakaran dipercayai akibat litar pintas.

Dalam kejadian jam 4.15 pagi semalam, mangsa berusia 50-an itu tiada di rumah berikutan keluar memancing.

Kemusnahan membabitkan 85 peratus kediaman itu manakala kereta Gen 2 milik mangsa hangus sepenuhnya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Shahrin Ahmad berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 4.30 pagi.

“Setibanya di lokasi kejadian, api didapati sedang marak dan dua aliran hos digunakan untuk memadamkan kebakaran itu.

“Api berjaya dikawal dalam tempoh 15 minit dan operasi tamat sepenuhnya jam 5.15 pagi,” katanya yang turut mendapat bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Bomba Andalas.

Menurutnya, ketika kejadian anak pemilik rumah itu turut tiada di rumah berkenaan.

“Ketua kampung itu hanya tiba di rumahnya selepas 20 minit kebakaran berjaya dipadamkan,” katanya.

Kata Shahrin, siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca akibat litar pintas di kotak suis rumah berkenaan.

Disiarkan pada: September 13, 2017 @ 6:36am
d