mutakhir

'My Heart , My Life' pupuk kesedaran [METROTV]

Oleh Amniera Naziera Amran

SERAMAI 25 peserta menyertai program amal jelajah berbasikal 'My Heart , My Life' anjuran Yayasan Institut Jantung Negara (IJN), sempena dengan sambutan Hari Malaysia dan Bulan Kesedaran Jantung Sedunia, di Sabah, bermula hari ini.

Pada program dengan kerjasama Kelab Berbasikal lnstitut Jantung Negara Cardiac Cycle (lJNCC) itu, peserta terdiri daripada doktor, warga kerja klinikal dan bukan klinikal IJN akan berbasikal membabitkan jarak sejauh 625 kilometer.

Ia bermula di Kota Kinabalu, seterusnya melalui Sipitang, Keningau, Kundasang, Kota Marudu dan dijangka kembali semula ke Kota Kinabalu, pada 18 September.

Kapten IJNCC , Azran Ahmad berkata, program itu turut mengadakan kempen kesedaran kesihatan untuk masyarakat bandar dan luar bandar secara percuma di beberapa lokasi persinggahan.

"Pelbagai aktiviti yang dilaksanakan antaranya ceramah kesihatan jantung dan juga pemeriksaan kesihatan percuma termasuk ujian tekanan darah, ujian paras gula, ujian kolestrol dan Indeks Jisim Badan (BMI).

"Selain itu, pada 16 September, kumpulan kami akan meraikan sambutan Hari Malaysia dan Bulan Kesedaran Jantung Sedunia di Perkarangan Pentas Budaya Pekan Kundasang bersama penduduk setempat," katanya ketika ditemui media di program amal jelajah berbasikal “My Heart, My Life”, Sabah 2017, dekat sini, hari ini.

Disiarkan pada: September 13, 2017 @ 10:42am
d