mutakhir

Perdaya kontraktor termasuk Datuk hampir RM800,00

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

PENOLONG Pegawai Belia dan Sukan Negeri Terengganu bersama dua rakannya mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan memalsukan dokumen untuk memperdayakan dua kontraktor termasuk seorang bergelar Datuk membabitkan kerugian hampir RM800,000.

Tertuduh, Mohd Khairul Adli Abdul Hadi, 30, berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 467 KK dan Seksyen 468 KK, mengaku tidak bersalah sebelum mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha dan Hakim Rofiah Mohamad.

Dua rakannya, Wan FairuzAfham Wan Noorislam, 33, dan Azmi Ngah, 44, mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan di hadapan hakim sama iaitu mengikut Seksyen 420 KK, Seksyen 467 KK dan Seksyen 471 KK.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Khairul Adli didakwa memalsukan dokumen yang dikeluarkan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) dengan niat menipu di Pejabat Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Jalan Pasir Panjang, di sini antara 19 April 2016 hingga 25 April 2016.

Selain itu, Mohd Khairul Adli mengaku tidak bersalah memalsukan dokumen iaitu cagaran berharga di atas nama Syarikat Flamingo Daingwell Group (M) Sdn Bhd di alamat dan tarikh sama.

Di Mahkamah Sesyen berasingan tertuduh sekali lagi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memalsukan surat cagaran berharga di Pejabat Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Jalan Pasir Panjang, di sini antara 19 April hingga 25 Mei 2016.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Azman dan Rofiah menetapkan 4 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Dua lagi tertuduh, Wan FairuzAfham dan Azmi didakwa menipu Mohd Rozi Ibrahim, 45, dan Zawawi Mohd, 43, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa JBSNT ada menawarkan projek membekalkan 'Kit Peserta Sukan' dengan dakwaan syarikat milik ahli keluarga iaitu MHI Kenangan Enterprise dan Syarikat Flamingo Daingwell Group (M) Sdn Bhd memperoleh projek itu.

Tindakan mereka mendorong kedua-dua mangsa membayar modal sebanyak RM270,000 dan RM500,000 dalam bentuk tunai dan cek di tingkat bawah Bazar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jalan Masjid Abidin dan tempat letak kereta di Batu Buruk, di sini, pada 5.30 petang 25 April dan 2.15 petang 25 Mei 2016.

Selain itu, dua bersaudara itu turut berdepan empat pertuduhan kerana menggunakan dokumen palsu bagi tujuan memperdayakan mangsa.

Kedua-dua mereka dibenarkan diikat jamin sebanyak RM18,000 setiap seorang bagi semua pertuduhan sebelum menetapkan 4 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan pertama dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohamad Razali manakala Mohd Khairul Adli diwakili peguam, Fozi Adhwa dari Tetuan Nordin Kassim dan Wan Fairuz Afham diwakili peguam, Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin.

Manakala pada pertuduhan kedua, pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman.

Disiarkan pada: September 13, 2017 @ 8:10pm
d