mutakhir

Jalur Gemilang cap ibu jari 180,000 pelajar TKC

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Nilai: Kolej Tunku Kurshiah (TKC) mencipta namanya dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas menghasilkan Jalur Gemilang gergasi menggunakan 180,000 cap ibu jari.

Aktiviti membabitkan 840 pelajar, guru, staf kakitangan, ibu bapa dan alumni siap dalam tempoh seminggu sejak dimulakan pada 4 September lalu.

Pengetua TKC,Anismah M Noh berkata, Jalur Gemilang dibuat atas kain rentang yang dihasilkan dengan cap ibu jari bersaiz 31 meter lebar dan 35 meter panjang terbesar di Malaysia setakat ini.

Katanya, cap ibu jari itu dibuat dengan berbentuk simbol hati yang berlatar belakangkan Jalur Gemilang.

“Ia turut tertera nama TKC di atas kain rentang dan perkataan Malaysia tertulis di bawahnya. Idea ini timbul sebagai usaha mencipta kelainan dalam menyemarakkan sambutan kemerdekaan di TKC,” katanya pada Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan 2017 di TKC, di sini, semalam.

Rekod itu disahkan Wakil MBOR, Lee Pooi Leng.

Anismah berkata, usaha ini bukan mudah kerana mereka berdepan kekangan masa dan cuaca untuk menyiapkan kain rentang ini.

“Selain itu, jarak setiap cap ibu jari memainkan peranan sebagai penilaian dalam MBOR,” katanya.

Menurutnya, kos keseluruhan membuat Jalur Gemilang itu ialah RM9,500.

Pihak kami turut mendapat tajaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) TKC, Bank Muamalat Berhad, Entec Tech & Supply, Electric Libary, Ya Hanana Maju Enterprise dan Edu Resources,” katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 5:30am
d