mutakhir

Denda RM11,000

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Akibat memiliki dadah dan racun tidak dibenarkan, seorang penganggur didenda RM11,000 di Mahkamah Majistret Kota Bharu, di sini, semalam.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhamad Rohaizad Rahim, 30, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 30 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa memiliki Mitragynine dan Diphenhydamine di tapak pembinaan Kampung Tiong, jam 7.45 malam, 10 April 2017.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis Methampetamine dan Nimetazepam pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bersama tiga rakannya dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

Pihak polis menghampiri kumpulan lelaki itu sebelum mereka melarikan diri. Bagaimanapun mereka berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

Pemeriksaan di lokasi kejadian menemui dadah dan racun berkenaan.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

Timbalan Pendakwa Raya Hamidah Mahmood memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan.

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 5:36am
d