mutakhir

379,000 lari ke Bangladesh

Oleh HM Digital

Cox’s Bazar, Bangladesh: Hampir 379,000 umat Islam Rohingya melarikan diri dari Rakhine untuk ke Bangladesh sejak keganasan baru meletus bulan lalu.

Jurucakap agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Joseph Tripura berkata, angka itu meningkat 9,000 dalam tempoh 24 jam menjadikan keseluruhan Rohingya membanjiri sempadan Bangladesh dianggarkan 379,000 pelarian.

“Pihak berkuasa Bangladesh kini mendaftarkan ketibaan baru dan membina kem baru di sempadan Myanmar untuk menampung kemasukan baru.

“Kami mula mengalihkan ribuan pelarian ke kem ini apabila kami membina gudang untuk mereka,” kata Ali Hossain, pentadbir kerajaan bagi daerah Cox’s Bazar kepada AFP.

Serangan militan Rohingya ke atas pasukan keselamatan Myanmar di Rakhine pada 25 Ogos mencetuskan tindakan keras ketenteraan terhadap komuniti minoriti Muslim dan pengusiran itu bermula sehari selepas kejadian.

Masyarakat Rohingya sudah lama diskriminasi kerajaan Myanmar yang didominasi Buddha yang menafikan kewarganegaraan mereka.

Ada lebih 300,000 Rohingya di kem pelarian dan penempatan sementara di Bangladesh walaupun sebelum kekacauan terbaru.

Ini menjadikan puluhan ribu ketibaan baru tidak mempunyai perlindungan dan ada antara mereka berjalan selama beberapa hari untuk sampai ke Bangladesh.

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 6:11am
d