mutakhir

Muka macho, teknik hampeh

Oleh Siti Salmiah A Hamid

Bangi: Wajah tampan tapi kaku bila bersilat dalam filem. Itu kata bekas pesilat negara, Ruzaidi Abd Rahman mengenai industri perfileman tempatan berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.

Menurut beliau, senario perfileman tempatan lebih banyak menggunakan artis yang memiliki ketampanan wajah, namun tidak mempunyai ilmu dan pengalaman apabila perlu menjayakan watak sebagai pesilat.

“Filem satu jalan yang berjaya mengangkat seni bela diri sebagaimana kejayaan filem Perantau Warrior dari Indonesia dan Ong Bak di Thailand.

“Namun, sukar untuk kita melihat sebuah filem dalam negara benar-benar dilakonkan oleh mereka yang memiliki ilmu persilatan 100 peratus, justeru pemikiran sedemikian perlu diubah dengan memberi peluang kepada mereka yang memiliki pengetahuan berkenaan, sekali gus meningkatkan martabat seni silat Melayu,” katanya ketika ditemui pada majlis Wacana ATMA Seni Silat Melayu: Falsafah, Sejarah dan Amalan di Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

Hadir sama Pengarah Institut Alam dan Tamadun (ATMA) UKM Prof Dr Supyan Hussin.

Sementara itu, Dr Supyan berkata, wacana itu bertujuan menghimpunkan penggerak silat sama ada berkumpulan atau individu bagi mengumpulkan maklumat mengenai seni bela diri berkenaan.

Katanya, penganjuran kali pertama itu akan mengetengahkan pelbagai organisasi selepas ini setiap bulan bagi mengangkat martabat seni berkenaan termasuk Seni Silat Cekak dan Silat Gayong.

“Wujud kelompongan di pusat penyelidikan apabila tiada maklumat terperinci mengenai seni silat Melayu.

“Malah, ia menyukarkan pelajar untuk mendapatkan sumber rujukan mengenai seni silat sekiranya tiada pusat penyelidikan menyediakan maklumat sahih mengenai ilmu persilatan,” katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 6:22am
d