mutakhir

Ditahan sertai pengganas

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

SEORANG penganggur yang dalam percubaan menghasilkan bahan letupan berskala besar dan merancang melancarkan serangan ke atas rumah ibadat orang bukan Islam di negara ini ditahan dalam satu serbuan di rumahnya di Bagan Serai, Perak, 8 September lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek berusia 21 tahun itu sudah berbai'ah dan menyertai Daish sejak awal tahun lalu.

Menurutnya, suspek juga mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda dan Kumpulan Pengganas Abu Sayyaf Group (ASG).

"Suspek turut mengaku pernah mendapatkan tunjuk ajar daripada rakyat Malaysia yang menyertai Daish di Selatan Filipina, Dr Mahmud Ahmad dan seorang pakar bom Daish di Arab Saudi untuk menghasilkan bahan letupan.

"Dia sudah tiga kali cuba menghasilkan bahan letupan ini dan turut menerima arahan daripada seorang warga Malaysia, anggota kanan Daish di Syria untuk membeli pistol, Rifle M-16, Rifle AK-47 dan bom tangan dari negara jiran untuk menyerang orang bukan Islam dan rumah ibadat mereka di negara ini," katanya.

Mohamad Fuzi berkata, dalam serbuan itu polis merampas bahan kimia untuk menghasilkan bahan letupan.

Menurutnya, dalam serbuan berasingan di Melaka, 10 September lalu, seorang penjual cendol, 38 yang aktif mencetak dan mengedarkan bendera Daish bagi mempromosikan perjuangan kumpulan itu turut ditahan.

"Lelaki itu merancang menyertai Daish di Filipina dan kumpulan militan di Rakhine, Myanmar.

"Pada hari sama, satu tangkapan dibuat di Petaling Jaya membabitkan seorang pemandu bas berusia 41 tahun yang merancang untuk menyertai Daish di Syria hujung tahun ini," katanya.

Katanya, ketiga-tiga suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan dan disiasat mengikut Akta 747, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 11:40am
d