mutakhir

Proses pengecaman ambil sedikit masa [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Proses pengecaman 23 mangsa yang terkorban sedang dilaksanakan untuk pengesahan identiti.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) sedang mengambil sampel DNA daripada waris untuk padanan.

"Proses ini akan mengambil sedikit masa memandangkan mangsa terkorban dalam keadaan tragis.

"Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerima 23 mayat, dua daripadanya adalah individu dewasa manakala baki adalah kanak-kanak dan remaja," katanya dalam sidang media khas di lobi utama HKL, di sini, hari ini.

Katanya, dalam kejadian itu tujuh mangsa kebakaran adalah enam pelajar tahfiz manakala seorang lagi penduduk yang datang membantu.

"Semua mereka dirawat di Jabatan Kecemasan HKL manakala empat mengalami kecederaan serius dan tiga lagi cedera ringan," katanya.

Katanya, Kementerian Kesihatan turut melaksanakan kaunseling psikologi terhadap waris yang dilihat mengalami trauma akibat tragedi berkenaan.

"Saya berharap keluarga diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini," katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 4:13pm
d