mutakhir

Jumpa dadah atas katil

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

POLIS menahan seorang lelaki dan menemui pelbagai dadah dipercayai jenis heroin, ganja dan syabu dengan anggaran berat 295.95 gram bernilai RM15,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Selingsing, Simpang Empat, Semanggol, Bagan Serai semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian menjalankan serbuan berikutan menerima maklumat berhubung kegiatan menyalahi undang-undang yang dijalankan suspek.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam serbuan itu pihaknya berjaya menahan suspek yang berusia 30 an kerana disyaki terbabit dalam kegiataan penyalahgunaan dadah.

Katanya, suspek ditahan di dalam bilik tidur rumah berkenaan dan pemeriksaan lanjut di dalam premis itu menemui sebungkus plastik hitam yang mengandungi 200 paket dadah jenis heroin di atas tilam bilik berkenaan.

"Turut ditemui 16 paket heroin, empat paket ganja dan tiga paket syabu di dalam satu bekas tin tidak berpenutup di atas tilam berkenaan," katanya dalam sidang media di Bilik Mesyuarat IPD Kerian di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian Deputi Superintendan Sanusi Salleh.

Beliau berkata, berdasarkan semakan lanjut, suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan kini direman selama seminggu bermula 13 hingga 19 September.

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 6:31pm
d