mutakhir

'Memang sengsara hidup di sana'

Oleh HM Digital

Kuala Berang: “Saya pernah ditangkap dan dipukul kerana dituduh bersubahat dengan pihak Rohingya Solidariti Organisasi (RSO),” kata Mohd Osman Ibrahim Hafiz Ahmad, 44, ketika ditemui di Madrasah Hidayah Rohingnya, di sini, semalam.

Menurutnya, dia kemudiannya terpaksa membayar kira-kira RM15,000 untuk dibebaskan dan atas faktor keselamatan menyebabkannya lari ke negara ini selepas tamat pengajian di Universiti Yangon pada 1996.

Katanya, dia lari ke negara ini ketika berusia 23 tahun kerana bimbang nyawanya terancam akibat keganasan tentera yang berlaku di Arakan.

“Walaupun sudah lama ke negara ini, saya sentiasa mengikut perkembangan kejadian penghapusan etnik yang berlaku ke atas masyarakat Rohingya di negaranya dan berasa amat dukacita dengan kejadian yang berlarutan sejak sekian lama itu,” katanya.

Menurutnya, tindakan pengusiran masyarakat Rohingya yang digelar banggali oleh tentera Myanmar sudah berlaku sejak 75 tahun dan berlarutan dan dia berharap masyarakat Islam seluruh dunia bersatu hati menyelesaikan konflik di Arakan itu.

Dia kini menguruskan sebuah madrasah tahfiz berkata, walaupun dua sekolah sudah dibuka Pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) untuk etnik Rohingya di Terengganu tetapi ia lebih menumpukan kepada bidang akademik.

“Atas tanggungjawab bagi menyebarkan agama kepada etnik Rohingya menyebabkan saya membuka madrasah yang menekankan pengajian Islam.

“Halangan utama dalam menguruskan madrasah yang mula beroperasi Februari lalu itu adalah sumber kewangan kerana setiap bulan purata RM20,000 diperlukan bagi menguruskan seramai 81 pelajar madrasah dan tujuh kakitangan temasuk tenaga pengajar dan tukang masak.

“Kami mempunyai persatuan iaitu Majlis Kemajuan Rohingnya Terengganu (MKRT) dan mempunyai 500 orang ahli yang sedikit sebanyak membantu dalam menyalurkan bantuan kepada madrasah ini.

“Di madrasah ini, 22 pelajar adalah perempuan dan selebihnya lelaki berusia enam hingga 13 tahun dan 24 orang adalah anak yatim yang mana semua pengajian di sini disediakan percuma,” katanya.

Disiarkan pada: September 15, 2017 @ 5:11am
d