mutakhir

Tarikan baru pengunjung

Oleh Asrol Awang

Kuantan : Serambi Teruntum di Tanjung Lumpur, di sini, bakal menjadi tarikan terbaru pengunjung khususnya pelancong luar negara di daerah ini apabila beroperasi sepenuhnya 1 Oktober ini.

Dengan kos RM18 juta dibangunkan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), ia menyediakan 89 kedai dengan lapan kedai makan, surau dan dataran seluas enam hektar yang dijangka mampu menarik kehadiran pengunjung.

Menampilkan produk tempatan termasuk makanan, tekstil dan hasil laut, Serambi Teruntum diharap membantu meningkatkan jumlah kedatangan pelancong bukan saja tempatan, malah dari luar Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Pahang Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin berkata, kewujudan Serambi Teruntum membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan perniagaan kepada usahawan Bumiputera.

Katanya, kerajaan sentiasa prihatin dan menyediakan kemudahan dalam usaha membantu peniaga menjana pendapatan dengan kadar sewa berpatutan.

“Oleh itu, 86 peniaga yang menerima kunci di Serambi Teruntum ini dapat memanfaatkan kemudahan disediakan dengan baik.

“Malah, kadar sewa antara RM300 hingga RM400 sebulan bergantung kepada keluasan adalah berpatutan,” katanya sempena majlis penyerahan kunci kepada peniaga di Serambi Teruntum, semalam.

Shahiruddin berkata, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan agensi berkaitan akan melaksanakan promosi besar-besaran untuk mendapatkan pelbagai produk tempatan Pahang seperti sambal hitam, patin tempoyak dan Tenun Pahang.

Katanya, promosi lebih agresif mampu menjadikan Serambi Teruntum sebagai lokasi tarikan pelancong di negeri ini.

Disiarkan pada: September 15, 2017 @ 5:49am
d