mutakhir

Mudah tanam jagung

Oleh Nor Amalina Alias

Bachok: Menanamnya mudah, tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai dan hasil diperoleh lumayan menyebabkan Salwani Nawi, 32, menyertai projek tanaman jagung bijian pertama di Kelantan.

Dia menjadi wanita tunggal di negeri ini terbabit dalam projek perintis itu bersama 18 peserta lelaki sejak Jun lalu di Kampung Nelayan Kandis, di sini.

Projek dikelola di atas tanah berkeluasan 22 hektar yang membolehkan 1.7 juta anak pokok jagung bijian ditanam.

Pokok mengeluarkan hasil 100 metrik tan semalam yang memberikan pulangan sehingga RM75,000 kepada semua peserta.

Salwani berkata, dia mencuba tanaman jagung bijian selepas menanam lada dan ubi keledek untuk menambah pendapatan keluarganya.

“Mudah nak jaga jagung bijian ini, upah meracun pun tak mahal. Kerja tak berat malah saya hanya tengok tanaman dua hari sekali.

“Alhamdulillah hasilnya lumayan untuk tanah saya seluas 1.4 hektar,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Penuaian Jagung Bijian di Kampung Nelayan Kandis, di sini, semalam.

Menurutnya, tempoh menuai jagung antara 100 hingga 120 hari selepas ditanam dan dia turut mendapat bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Kelantan, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kandis dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Bagi Ketua Kelompok Projek itu, Hassan Abdul Rahman, 55, dia menganggarkan lebih 70 peratus tanaman berjaya dituai mengikut piawaian ditetapkan pembeli.

“Walaupun tanaman baru kami sanggup ambil risiko sebab nak jadikannya tanaman kedua selepas ubi keledek, lada kampung dan tembikai,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pertanian Negeri Kelantan, Karim@Mohd Khari Yusof berkata, projek julung kali itu membabitkan 19 petani yang mempunyai latar belakang menanam tembakau, tembikai dan sayuran seperti lada serta ubi keledek.

Katanya, sebagai permulaan, pihaknya membantu petani memasarkan hasil jagung bijian ke syarikat berpotensi, selain memberi bantuan awal seperti input pertanian.

“Antaranya kami beri bantuan baja dan racun, pam air dan mesin serta peralatan menuai jagung dan bajak,” katanya.

Disiarkan pada: September 15, 2017 @ 5:58am
d