mutakhir

Lelaki ditahan bersama 295.95g dadah

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Polis menahan seorang lelaki dan menemui pelbagai dadah dipercayai jenis heroin, ganja dan syabu dengan anggaran berat 295.95 gram bernilai RM15,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Selingsing, Simpang Empat, Semanggol, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 pagi, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian menjalankan serbuan berikutan menerima maklumat awam berhubung kegiatan menyalahi undang-undang yang dijalankan suspek.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya menahan suspek yang berusia 30-an kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Katanya, suspek ditahan di dalam bilik tidur rumah berkenaan dan pemeriksaan lanjut menemui sebungkus plastik hitam mengandungi 200 peket dadah jenis heroin di atas tilam.

“Turut ditemui 16 peket heroin, empat peket ganja dan tiga peket syabu di dalam satu bekas tin tidak berpenutup di atas tilam.

“Semua dadah yang dirampas seberat 295.95 gram dianggarkan bernilai RM15,000 dan suspek yang ditahan kini direman selama seminggu bermula 13 hingga 19 September ini,” katanya pada sidang media di IPD Kerian, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian Deputi Superintendan Sanusi Salleh.

Disiarkan pada: September 15, 2017 @ 6:40am
d