mutakhir

Nafi guna gelaran tanpa kebenaran

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

AHLI pernigaan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas tuduhan menggunakan gelaran Datuk Seri Panglima tanpa kebenaran bertulis daripada Sultan Perak, Januari lalu.

Tertuduh, Irwan Mohd Noor, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan gelaran Datuk Seri Panglima bagi maksud persendirian tanpa kebenaran Sultan Perak di No 2850, Kampung Rapat Jaya Tambahan, Kinta, Ipoh, 20 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Perak 2016 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 3(3) enakmen yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda tidak kurang RM250,000 dan maksimum RM500,000 atau penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Pengarah Pendawaan Negeri Perak, Yusaini Amer Abdul Karim manakala tertuduh diwakili Peguam Aiman Ariff.

Murtazadi kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport manakala sebutan semula ditetapkan menetapkan 16 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: September 15, 2017 @ 12:22pm
d