mutakhir

Bebas dengan jaminan RM50,000

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

DUA lagi individu dibebaskan daripada tahanan reman hari ini berhubung siasatan kes mengemukakan invois palsu berjumlah RM23.65 juta bagi satu projek di Bintulu, Sarawak pada 2015.

Mereka yang dibebaskan adalah seorang wanita yang juga pengarah sebuah syarikat kontraktor dan bekas pembantu teknikal syarikat cari gali.

Perintah tamat reman dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.

Nik Isfahanie turut menetapkan kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM50,000 setiap seorang.

Pada 6 September lalu, kedua-dua mereka direman kali pertama selama enam hari sebelum disambung empat hari lagi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sumber SPRM sebelum ini memaklumkan, suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu melalui tiga invois syarikat kontraktor antara April hingga Jun 2015 bagi kerja yang sepatutnya dilakukan syarikat berkenaan.

Difahamkan, tuntutan itu sudah dibayar oleh syarikat cari gali berkenaan kepada syarikat kontraktor terbabit, namun tiada kerja dilaksanakan bagi tuntutan itu.

Disiarkan pada: September 15, 2017 @ 2:27pm
d