mutakhir

31 sekolah agama dan tahfiz dipantau

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan (JBPMNS) akan mula memeriksa 31 sekolah agama dan tahfiz di negeri ini, hari ini bagi meningkatkan tahap keselamatan.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, ia susulan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat, Kuala Lumpur semalam yang mengorbankan lebih 20 nyawa.

Menurutnya, pemeriksaan bertujuan memastikan semua premis mematuhi ciri keselamatan bangunan yang ditetapkan.

"Pemeriksaan ini adalah langkah biasa dilakukan jabatan sekurang-kurangnya setahun sekali. Bagi tahun ini beberapa pemeriksaan sudah dibuat sejak beberapa bulan lalu," katanya selepas mengadakan pemeriksaan di Yayasan As-Sofa, di sini, hari ini.

Norazam berkata, berikutan beberapa kebakaran kerap berlaku baru-baru ini, pihaknya akan meningkatkan pemeriksaan itu.

"Bagi pemeriksaan terdahulu, hanya sebuah pusat tahfiz di Rembau dikesan gagal mematuhi aspek keselamatan. Bagaimanapun kes itu sudah dihadapkan ke mahkamah, sekaligus membuktikan isu keselamatan sentiasa diberi perhatian," katanya.

Norazam berkata, kebakaran yang seringkali berlaku di sekolah agama dikesan akibat lintar pintas, terutama membabitkan aspek pendawaian tanpa kebenaran.

Disiarkan pada: September 15, 2017 @ 6:33pm
d