mutakhir

Perdana Menteri selamat pulang

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor selamat tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA, kira-kira 8.30 malam tadi, selepas lawatan rasminya ke Amerika Syarikat dan Britain.

Terdahulu, sebelum kembali ke ibu negara, pesawat Perdana Menteri mendarat di Alor Setar, Kedah, untuk Najib menghadap Sultan Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dan menziarahi makam Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Turut menyambut ketibaannya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan barisan menteri Kabinet.

Dalam ucapannya, Najib memaklumkan beliau akan terus ke Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat, Kuala Lumpur, untuk melawat tapak kebakaran dan menziarahi mangsa.

Sepanjang lawatan kerja Najib di kedua-dua negara, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Presiden AS, Donald J Trump di Rumah Putih dan Perdana Menteri Britain, Theresa May di 10, Downing Street, kediaman dan pejabat rasmi perdana menteri Britain.

Secara keseluruhannya, lawatan kerja selama tiga hari Perdana Menteri ke AS itu antara lain bertujuan membangkitkan isu penindasan masyarakat Islam Rohingya di Myanmar serta komitmen negara memerangi keganasan.

Sementara itu, pertemuan Najib dengan Perdana Menteri Britain pula memperkukuhkan hubungan akrab antara Malaysia dan Britain yang terjalin sekian lama sejak kemerdekaan Malaysia 60 tahun lalu.

Disiarkan pada: September 15, 2017 @ 9:43pm
d