mutakhir

Malaysia final lawan Gajah Perang

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor

SKUAD bawah 19 tahun (B-19) negara mara ke pentas final Kejuaraan B-18 AFF 2017 selepas menewaskan tuan rumah Myanmar 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti pada separuh akhir di Stadium Thuwunna, Yangon, hari ini.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas tamat 90 minit permainan dan tiada masa tambahan.

Skuad negara seharusnya berterima kasih kepada penjaga gol, Muhammad Azri Ab Ghani yang berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti pemain Myanmar, Than Htike Zin dan Aung Wunna Soe.

Kapten Malaysia, Muhammad Syaiful Alias mengesahkan kemaraan skuad negara apabila tenang menewaskan penjaga gol Myanmar, Htet Wai Yan Soe pada sepakan penalti terakhir.

Lawan skuad kendalian Bojan Hodak adalah Thailand yang terlebih dahulu mengesahkan tempat di final selepas menundukkan Indonesia 3-2 juga menerusi penentuan penalti.

Final dijadualkan berlangsung esok pasti menarik selepas Malaysia dan Thailand terikat 1-1 pada aksi peringkat Kumpulan A, Selasa lalu.

Disiarkan pada: September 15, 2017 @ 10:23pm
d