mutakhir

Anggota bomba bantu pindahkan lelaki obesiti

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI menderita obesiti dengan berat badan hampir 180 kilogram (kg) dipindahkan dari Hospital Langkawi ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk menjalani rawatan lanjut semalam.

Pesakit berusia 40 tahun itu dipindahkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Fisol Abdul Kadir.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.18 petang dan tiba di Hospital Langkawi jam 2.21 petang.

Beliau berkata, tujuh anggotanya tiba dengan sebuah jentera dan lori lima tan dan membawa mangsa menaiki feri untuk ke jeti Kuala Kedah jam 4 petang.

"Pesakit itu tiba di Kuala Kedah pada jam 5.24 petang dan dipindahkan menaiki lori dari BBP Alor Setar yang menunggu di jeti untuk dihantar ke HSB bagi menjalani rawatan.

"Operasi turut dibantu agensi lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar dan kakitangan perubatan HSB," katanya.

Disiarkan pada: September 16, 2017 @ 1:01am
d