mutakhir

Dituduh miliki gas tanpa lesen

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Seorang pemilik syarikat penjualan Gas Petroleum Cecair (LPG) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas pertuduhan memiliki barangan kawalan tanpa lesen iaitu gas sebanyak 1,450 kilogram, tahun lalu.

P Gulshendeep Singh, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharudin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemilik perniagaan Shan Singh Trading didapati ada dalam milikannya barang kawalan iaitu Gas Petroleum Cecair (LPG) 1,450 kilogram yang disimpan di dalam lori dalam keadaan yang menimbulkan syak mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kereta di hadapan sebuah kondominium, di Jalan Sri Wangsa 1, di sini, jam 10.30 malam, 1 September 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan boleh dihukum denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Oktober untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di mahkamah sesyen berasingan, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan menerima wang haram daripada lima restoran membabitkan jumlah RM113,922.66.

Disiarkan pada: September 16, 2017 @ 6:44am
d